Perak Food Hunter kembali lagi, rancak promosi makanan unik di Perak
Aida Aziz
Ogos 20, 2022 16:32 MYT
Ogos 20, 2022 16:32 MYT
IPOH: Hadiah lumayan bernilai RM7,000 menanti pemenang pertandingan Perak Food Hunter 2.0 yang dianjurkan buat tahun kedua, bermula hari ini hingga 30 September depan.
Setelah berjaya menarik minat ramai penggemar atau 'pemburu' makanan untuk meneroka dan membuat ulasan tentang makanan unik di Perak, pihak penganjur sekali lagi membuka peluang kepada umum.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed, inisiatif Pejabat Belia Sukan Komunikasi dan Multimedia (BSKM) dan Digital Perak itu antara lain bertujuan merancakkan ekonomi sektor makanan tempatan.
"Kita buka peluang kepada semua tidak mengira usia, bangsa dan sebagainya. Bukan hanya terhad kepada pereka kandungan yang berasaskan ulasan makanan sahaja.
"Syaratnya mereka perlu buat video pendek bertemakan makanan dan ulasan makanan di negeri ini sahaja, tidak kiralah warung, restoran gerai dan sebagainya.
"Kita mahu menarik para penggemar makanan serta pelancong luar ke negeri ini menerusi pembangunan kandungan multimedia sebagai medium pemasaran digital," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran pertandingan Perak Food Hunter 2.0 di sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam & ‘Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan.
Sementara itu, Meor Rezal Fitri ketika mengulas lanjut mengenai pertandingan itu berkata, para peserta perlu menghasilkan sebuah video reviu makanan yang bertemakan “Makanan yang berada di Negeri Perak” dan tidak melebihi tiga minit.
Tambahnya lagi, para peserta yang menerapkan unsur kemerdekaan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan mendapat markah tambahan.
"Saya menjemput seluruh Keluarga Malaysia untuk menyertai pertandingan ini.
"Harapan saya supaya Perak Food Hunter kali ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan dan lebih meriah berbanding sebelumnya," katanya.
Untuk makluman pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Di samping terbuka kepada makanan halal dan tidak halal serta individu atau berkumpulan.
Para peserta berpeluang untuk memenangi hadiah yang lumayan iaitu; tempat pertama RM7,000, trofi dan sijil, tempat kedua RM5,000, trofi dan sijil manakala tempat ketiga RM3,000, trofi dan sijil.
Kaedah penyertaan pula, peserta perlu mengimbas kod QR di poster untuk pendaftaran.
Seterusnya setelah video siap, peserta perlu menghantar menerusi e-mel ke perakfoodhunter@gmail.com.
Tarikh tutup penyertaan pada 30 September 2022 sebelum atau pada jam 11.59 malam.
Di samping itu, para peserta wajib like & follow Facebook: perakfoodhunter, Twitter: perakfoodhunter dan Instagram: perakfoodhunter.