Perak cadang wujudkan lesen khas jurupandu geotapak

Aida Aziz
Ogos 15, 2022 08:10 MYT
Nolee Ashilin (tengah) berkata cadangan itu relevan dan sesuai untuk memastikan industri pelancongan di negeri ini berkembang maju. -Astro AWANI
IPOH: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk mengeluarkan lesen khas kepada jurupandu geotapak terlatih di Perak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, cadangan itu relevan dan sesuai untuk memastikan industri pelancongan di negeri ini berkembang maju.
Beliau turut mengakui setakat ini tiada sebarang lesen khusus untuk jurupandu geotapak.
"Kita akui ada kelompongan di situ. Jadi untuk permulaan, kita bercadang untuk mendaftarkan mereka sebagai jurupandu di bawah Perbadanan Taman Negeri terlebih dahulu.
"Tetapi kerajaan negeri akan melihat ke arah mendapat pengiktirafan tersebut sama ada melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) atau Kementerian Pelancongan," katanya.
Beliu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Harapannya juga supaya perkara itu dapat difikirkan secara bersama, termasuk pembabitan kerajaan pusat.
"Kategori ini (jurupandu geotapak) tidak jatuh di antara mana-mana kategori jadi kita akan cadangkan kepada pihak Persekutuan untuk mewujudkan satu kategori khusus," katanya.
Terdahulu dalam program itu, beliau berkata seramai 50 peserta menyertai program anjuran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan KeTSA dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri.
Katanya lagi, ia adalah kursus lanjutan pihak kerajaan negeri bersama JMG mengadakan kursus latihan asas jurupandu geotapak untuk Geopark Lembah Kinta yang diadakan sebelum ini.
"Kali ini program membabitkan re-skilling dan up-skilling yang dikendalikan Empire Putra College untuk mengasah semula bakat khususnya dalam melahirkan jurupandu Geopark Lembah Kinta," katanya.
Nolee Ashilin berkata, kursus kali ini turut merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan promosi dan pakej pelancongan.
#Nolee Ashilin Mohammed Radzi #lesen khas #jurupandu geotapak terlatih #Perbadanan Taman Negeri
;