Perak cadang permudah urusan poligami

Bernama
Oktober 30, 2018 04:59 MYT
ASMUNI: Sekiranya keadaan itu dipermudahkan, mahkamah boleh guna budi bicara sama ada hendak panggil isteri pertama datang atau tidak bagi memudahkan proses poligami. - Gambar fail
Kerajaan negeri Perak bercadang meminda Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 bagi memudahkan individu melakukan urusan untuk berpoligami.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata di bawah peruntukan sedia ada, mahkamah terikat untuk membuat sebarang keputusan selagi isteri pertama tidak hadir ke mahkamah memberikan penjelasan.
"Ada sesetengah isteri setuju benarkan suami berpoligami, tetapi keberatan ke mahkamah.
"Jadi sekiranya keadaan itu (seksyen) dipermudahkan seperti menukar perkataan 'hendaklah' menjadi 'bolehlah' maka mahkamah boleh guna budi bicara sama ada hendak panggil isteri pertama itu datang atau tidak untuk memudahkan proses poligami berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laman sesawang mencari jodoh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Modul Pemahaman Poligami Negeri Perak di sini pada Selasa.
Seksyen 23 antaranya menyatakan apabila menerima permohonan poligami, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, jika ada, dan mana-mana orang lain yang difikirkan boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan supaya hadir apabila permohonan didengar dalam mahkamah tertutup dan mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon jika berpuas hati.
Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada Isnin bahawa kerajaan sedang berusaha menyeragam dan menyelaras undang-undang Syariah di seluruh negara, Asmuni berkata: "Saya tengok tak banyak beza, ada sedikit perbezaan pindaan".
Mujahid berkata antara usaha yang sedang dilakukan adalah mengkaji keperluan meminda beberapa undang-undang Syariah yang sedang diguna pakai di negeri-negeri bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada relevan dengan suasana semasa tanpa mengetepikan hukum syarak dan prinsip-prinsip keadilan.
-- BERNAMA
#Asmuni Awi #budi bicara #Enakmen Keluarga Islam #isteri #kerajaan #mahkamah #Mujahid Yusof Rawa #Perak #pinda #poligami #selaras #seragam #undang-undang
;