Perak-Britain pantau peluang kerjasama wujudkan 'bandar berkembar'
Nazialita Geynna Maharan
Ogos 8, 2018 21:26 MYT
Ogos 8, 2018 21:26 MYT
Kerajaan negeri Perak sedang melihat kemungkinan untuk menjalinkan hubungan dua hala yang lebih baik dengan negara Britain khususnya dalam bidang pelaburan dan pendidikan dengan mewujudkan ‘bandar kembar’.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, pendekatan itu dilihat sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan Perak sebagai hab pelaburan utama buat pelabur dari Britain.
Katanya, inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menangani isu pelaburan dari Britain yang agak menurun kebelakangan ini.
Jelasnya beliau menyedari bahawa sebilangan besar rakyat negeri itu mempunyai kesesuaian dengan sistem pendidikan Britain.
Justeru, elemen itu boleh menjadi faktor utama bagi mencadangkan institusi pendidikan dari negara Barat itu untuk membuka cawangan di Perak.
“Kita dapati pelaburan daripada Britain agak menurun sejak beberapa tahun yang lalu dan kini kita hendak memulakan satu hubungan yang baharu.
“YB Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) yang memegang portfolio pelaburan akan berusaha dengan lebih gigih untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Britain ke negara ini,” ujarnya.
Beliau menambah, pada masa yang sama pihaknya juga telah berbincang dengan peguam sektor untuk menjalin peluang pelaburan dengan Britain terutama dalam bidang pendidikan.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicky Treadell di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini hari ini.
Malah, Ahmad Faizal berkata pihaknya bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri juga sempat membincangkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan antara Perak dengan salah sebuah bandar raya di Britain sebagai bandar berkembar.
Ketika ditanya mengenai punca kadar pelaburan asing menurun di Perak, Ahmad Faizal tidak menafikan ia mempunyai kaitan dengan situasi politik sebelum ini.
Jelasnya, arena politik Perak yang telah stabil kini membolehkan sebarang perbincangan dilakukan dan masanya telah tiba untuk menarik semula pelabur-pelabur asing dari seluruh dunia.
Sementara itu, Treadell berkata pihaknya bersikap terbuka terhadap cadangan untuk menjalinkan hubungan dua hala melalui kerjasama berkembar Perak-UK pada masa hadapan.
“Sama ada terdapat kemungkinan bandar berkembar dengan bandar di UK, kita akan lihat dahulu apa yang boleh dilaksanakan dalam bidang pendidikan, portfolio ekonomi dan perdagangan di sini.
"Tentu juga dengan rakan baik saya, Howard Lee (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak), untuk berbincang tentang apa yang boleh kita lakukan dengan belia dan sukan.
“Saya akan kembali ke Ipoh dengan pasukan saya untuk mesyuarat seterusnya untuk melihat dengan lebih dekat apa yang boleh dibangunkan bersama. Itu cita-cita kami,” ujar Treadell.