Perak beri keutamaan atasi isu pengangguran

Aida Aziz
Disember 16, 2021 10:55 MYT
Ahmad Saidi berkata PASAK akan menganjurkan dua siri temuduga terbuka setiap bulan. - Astro AWANI
IPOH: Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan menganjurkan jelajah kerjaya di 12 daerah di negeri ini, bagi memberi peluang pekerjaan berpotensi terus kepada pencari kerja.
Usaha itu juga antara langkah drastik bagi memfokuskan isu pengangguran yang kian meningkat akibat COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, PASAK akan menganjurkan dua siri temuduga terbuka setiap bulan, sama ada secara fizikal atau atas talian bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pencari kerja.
"Masalah pengangguran merupakan isu yang menjadi perhatian oleh kerajaan negeri, di mana syarikat-syarikat terpaksa mengurangkan kos operasi.
Sama ada dengan memberhentikan pekerja, mengurangkan gaji atau memberi cuti tanpa gaji terhadap pekerja mereka.
"Melalui PASAK, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta kehidupan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Khamis.
Ujarnya lagi, PASAK turut akan memfokuskan penganjuran program rintis kemahiran, pemetaan kerjaya di sekolah menengah, Xplorasi kampus dan klinik kerjaya.
Ia secara tidak langsung dapat membantu dalam pembangunan modal insan jangka panjang untuk rangka persediaan guna tenaga (talent pool) yang maksimum.
"Oleh itu, usaha yang berterusan akan terus dipergiatkan oleh kerajaan negeri melalui PASAK.
"Khusus membantu para pencari kerja untuk menempatkan diri dalam pasaran sama ada, jangka masa pendek, sederhana mahupun jangka panjang dengan kerjasama erat agensi-agensi berkaitan serta para pemain industri," katanya.
#pengangguran #COVID-19 #PASAK #pencari kerja
;