Perak bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.52 bilion, tertinggi dalam sejarah
Bernama
November 29, 2024 15:45 MYT
November 29, 2024 15:45 MYT
IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.52 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta dan pembangunan RM538 juta, iaitu belanjawan tertinggi dalam sejarah Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' berkata fokus belanjawan merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan.
"Belanja bagi maksud mengurus terdiri daripada emolumen RM472.73 juta, perkhidmatan dan bekalan RM350.1 juta, pembelian aset RM16.35 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM136.42 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.2 juta.
"Peningkatan belanja bagi maksud mengurus 2025 telah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pelarasan pencen Ahli Dewan Negeri," katanya.
Menurut Saarani, belanja bagi maksud pembangunan dalam Belanjawan 2025 ditambah dalam jumlah yang besar iaitu RM47 juta atau 9.6 peratus berbanding Belanjawan 2024.
Beliau berkata peningkatan itu bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat, disokong pula oleh kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin mengukuh dan stabil.
"Belanja bagi maksud pembangunan RM538 juta merupakan jumlah tertinggi pernah kerajaan negeri peruntukkan. Peningkatan ini adalah untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berdaya saing dan pembangunan terus terlaksana selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Dis 2025 diunjurkan pada kadar defisit RM81.8 juta," katanya.
Bagi fokus pertama iaitu kesejahteraan rakyat, Saarani berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM628.65 juta iaitu hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan negeri untuk dibelanjakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan, sukacita saya mengumumkan kadar bantuan am yang telah dinaikkan RM100 pada 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan, menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima meningkat menjadi RM500 sebulan berkuat kuasa Januari 2025," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata bagi 310 penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan di Larut, Matang dan Selama berkaitan isu pemilikan rumah yang telah berlanjutan selama 30 tahun, kerajaan negeri peruntukkan RM1 juta kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP) untuk menyelesaikan isu hak milik strata rumah pangsa berkenaan.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melalui dana pusingan bernilai RM3 juta yang telah diamanahkan oleh kerajaan negeri," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM398.99 juta bagi tujuan fokus kedua iaitu tadbir urus projek berkepentingan negeri.
Selain itu, sebanyak RM94.84 juta diperuntukkan bagi pembangunan modal insan dan belia dengan antaranya termasuk dana bagi tujuan Bantuan Pendidikan, Bantuan Khas Pendidikan, Bantuan Baucar Buku dan Program Back To School.
"Mendukung pelaksanaan program dan bantuan pendidikan di pelbagai peringkat sekolah, kerajaan negeri meneruskan kesinambungan Program Tuisyen Cikgu Saarani dengan RM2.2 juta diperuntukkanbagi menjayakan inisiatif ini," katanya.
Saarani berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM21.2 juta bagi tujuan pembangunan sukan di Perak meliputi RM18.3 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak bagi maksud mengurus.
-- BERNAMA