Perak benarkan solat Jumaat di surau mulai 10 Julai

Aida Aziz
Julai 8, 2020 08:58 MYT
Bilangan jemaah di surau dihadkan berasaskan kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan menetapkan jarak satu meter di antara jemaah. - Gambar hiasan
Perak membenarkan solat Jumaat diadakan di surau-surau yang didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mulai 10 Julai ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, ia termasuk surau di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan dan pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai serta mampu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia, dengan ini menzahirkan titah perkenan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, bilangan jemaah di surau dihadkan berasaskan kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.
"Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat," katanya.
Turut dibenarkan, amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat Qabliah dan Ba‘diah, wirid sesudah solat dan kuliah antara waktu solat Maghrib dan Isyak.
"Kuliah selepas solat Subuh dalam had tempoh masa tidak melebihi 30 minit dengan pematuhan garis panduan dan SOP boleh dilaksanakan di masjid dan surau," katanya.
Shahrul Azam berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat.
JAIPk akan mengeluarkan senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh PKPP.
Katanya, arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk.
#fatwa #garis panduan #Islam #JAIPk #jarak sosial #kerajaan #kesihatan #kuliah #MAIPk #MKN #pendidikan #PKPP #senarai surau #Shahrul Azam Shaari #solat #Solat Jumaat #solat sunat #SOP #Sultan Perak #surau #syarat #warga Malaysia #warganegara #wirid
;