Perak benarkan kuliah Subuh, Dhuha di semua masjid dan surau mulai Sabtu
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 1, 2021 17:58 MYT
Oktober 1, 2021 17:58 MYT
IPOH: Perak membenarkan kuliah Subuh dan kuliah Dhuha diadakan di semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di seluruh negeri itu, berkuat kuasa esok (Sabtu).
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin bagaimanapun berkata, pihak masjid dan surau perlu mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, antara peraturan itu adalah hanya ahli kariah yang dibenarkan menghadiri kuliah.
Di samping itu, katanya, kuliah hanya boleh diadakan tidak lebih 45 minit.
“Bagi kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), semua aktiviti ini adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak pengurusan masjid dan surau supaya mematuhi pekeliling yang dikeluarkan mengenai kebenaran tersebut.
Menurutnya, mereka juga perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, di samping menetapkan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas.
Terdahulu, tular pekeliling yang dikeluarkan JAIPk kepada pihak pengurusan masjid, surau diri Jumaat dan surau mengenai kebenaran mengadakan kuliah Subuh dan Dhuha.