Perak benar iftar, moreh, sahur, petugas wajib jalani ujian pengesahan COVID-19

Abd Razak Mohd Ali
Mac 7, 2023 13:57 MYT
Imam jemputan dari luar kariah yang telah mendapat kebenaran bertulis Pengarah JAIPk dibenarkan menjadi imam di sesebuah masjd dan surau tetapi tidak melebihi tujuh malam sepanjang bulan Ramadhan. - Gambar hiasan
IPOH: Perak membenarkan semua masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengadakan hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur sepanjang bulan Ramadan akan datang.
Bagaimanapun, petugas yang terlibat secara langsung menguruskan hidangan makanan, wajib membuat Ujian Pengesanan COVID-19: RTK Antigen (RTK-Ag) dan ditunjukkan kepada petugas masjid;
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, itu adalah antara garis panduan yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Menurutnya, Masjid Ubudiyah di Kuala Kangsar dan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh akan mengadakan 20 rakaat solat tarawih manakala bagi masjid dan surau lain diserahkan kepada ketetapan dan budi bicara Jawatankuasa Kariah masing-masing.
Katanya, solat tarawih hendaklah didahulukan sebaik selesai solat sunat Ba'diyah Isyak dan tazkirah jika mahu diadakan, hendaklah dilakukan selepas selesai solat sunat witir
“Imam jemputan dari luar negara hendaklah mendapat kebenaran bertulis Pengarah JAIPk dengan menggunakan borang yang disediakan tetapi imam tempatan hendaklah diutamakan oleh setiap masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, imam jemputan dari luar kariah yang telah mendapat kebenaran bertulis Pengarah JAIPk dibenarkan menjadi imam di sesebuah masjd dan surau tetapi tidak melebihi tujuh malam sepanjang bulan Ramadhan.
Menurut Harith Fadzilah, tadarus al-Quran dan qiamullaul juga dibenarkan diadakan di masiid dan surau.
Bagaimanapun, katanya, semua program di masjid hendaklah dianjurkan atas nama jawatankuasa kariah masjid dan bukan atas nama penyumbang.
#Jabatan Agama Islam Perak #bulan Ramadan #COVID-19 #sambut bulan Ramadan
;