Perak akan perkenal kad kesihatan dan makanan untuk golongan miskin
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 4, 2018 11:23 MYT
Ogos 4, 2018 11:23 MYT
Kerajaan Negeri Perak akan memperkenalkan kad kesihatan dan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, melalui kad ini, penerima boleh membeli keperluan asas dan rawatan kesihatan asas, berdasarkan bantuan bulanan yang diperuntukkan.
“Sejumlah wang akan dimasukkan ke dalam kad berkenaan, sebahagian untuk bayaran klinik swasta dan sebahagian lagi untuk makanan.
“Kita beri kepada golongan sasar untuk memudahkan mereka membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya, berdasarkan bantuan bulanan yang akan diperuntukkan,” katanya pada sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.
Beliau menjelaskan, buat masa ini, jumlah sebenar peruntukan dan golongan sasar yang terlibat dalam program itu masih belum dimuktamadkan tetapi ia diharap dapat dilaksanakan tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberitahu, beliau secara peribadi mahu masalah perumahan rakyat diselesaikan segera.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua pemaju swasta bagi menyediakan rumah di negeri ini, khususnya rumah murah dan rumah mampu milik.
Beliau mengumumkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat untuk membina rumah mampu milik yang berkeluasan 1,200 kaki persegi pada harga hanya RM90,000.
“Ia jauh lebih murah berbanding harga pasaran, kalau dulu, rumah mampu milik yang mempunyai keluasan 750 kaki persegi dijual dengan harga RM149,000,” tambahnya.
Selain itu, Ahmad Faizal berkata, beberapa program kerajaan terdahulu yang didapati baik untuk rakyat, akan diteruskan dengan melakukan penambahbaikan.
Beliau memberi contoh, skim air percuma untuk kumpulan sasar dan biasiswa Menteri Besar untuk anak Perak.
Katanya, skim air percuma ditingkatkan dari 20 meter padu kepada 25 meter padu yang turut menyaksikan peningkatan penerima daripada 11,000 kepada lebih 26,000 pemilik akaun.
Dalam usaha untuk menambah hasil negeri, ujaranya, Perak turut merancang untuk menjual air terawat ke negeri-negeri jiran seperti Pulau Pinang dan Selangor.
#Ahmad Faizal Azumu
#air
#anak
#GLC
#golongan
#kad kesihatan dan makanan
#kesihatan
#Menteri Besar
#minyak
#miskin
#Pakatan Harapan
#Perak
#rakyat