Perairan Pulau Betong pula dilanda fenomena air merah
Bernama
September 8, 2023 21:00 MYT
September 8, 2023 21:00 MYT
BALIK PULAU: Fenomena air pasang merah, atau air merah, yang telah menyebabkan ribuan ikan mati di perairan Teluk Bahang bulan lepas kini dikesan melanda Pulau Betong di sini hari ini.
Difahamkan sebagaimana kejadian di perairan di Teluk Bahang, kehadiran alga dinoflagelat iaitu Noctiluca Scintillans yang menyebabkan air laut berwarna merah jambu turut menyebabkan spesies hidupan laut seperti ikan terutama ternakan dalam sangkar di perairan Pulau Betong mati.
Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Aileen Tan berkata pihaknya dimaklumkan oleh penternak ikan sangkar di perairan Pulau Betong bahawa mereka mengesan kehadiran Noctiluca Scintillans di kawasan itu pada sebelah pagi.
Beliau berkata ketika itu, air laut dalam keadaan pasang dan kemungkinan besar alga tersebut dari perairan Teluk Bahang yang dipercayai hanyut dibawa arus ke Pulau Betong.
"Variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera yang dikaitkan dengan hujan yang tinggi mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut manakala ketersediaan nutrien terlarut menjadi punca pembiakan Noctiluca Scintillans," katanya ketika dihubungi hari ini
Tan berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati alga itu tidak lagi dikesan di perairan Teluk Bahang dan ia kini berada di sekitar Pulau Betong.
Beliau berkata hasil penelitian dan kajian pihaknya mendapati kematian ikan serta hidupan laut adalah berpunca daripada kekurangan oksigen serta kepekatan amnonia yang tinggi disebabkan kehadiran alga itu.
''Gabungan amnonia dan oksigen yang rendah akibat kehadiran alga ini di laut akan menyebabkan ikan menjadi 'sesak nafas' kerana kekurangan oksigen. Alga ini mengurangkan kualiti air laut dan menyebabkan ia tidak selamat untuk ikan terus hidup,'' katanya.
Sebelum ini, nelayan dan penternak ikan dalam sangkar sekitar Teluk Bahang bimbang dengan fenomena itu ekoran kematian ribuan ikan serta hidupan laut.
Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang memaklumkan keputusan awal analisis oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti fenomena air merah di perairan Teluk Bahang mendapati alga itu bukan toksin dan tidak berbahaya kepada manusia.
-- BERNAMA