Perahu pusaka jadi kenderaan ke sekolah susulan banjir
Bernama
Januari 30, 2023 12:45 MYT
Januari 30, 2023 12:45 MYT
BATU PAHAT: Sebuah perahu pusaka menjadi penyelamat kepada seorang kanak-kanak Nur Akifa Naila Ewan Najib di Kampung Parit Warijo, di sini, untuk dia ke sekolah, selepas banjir melanda kampungnya.
Bapa kanak-kanak itu, Ewan Najib Sukarno, 46, berkata perahu itu malah menjadi kenderaan utama mereka sekeluarga apabila jalan masuk ke kediaman mereka dinaiki air kira-kira satu meter.
Dia berkata pada mulanya dia memberikan cadangan untuk anak bongsunya itu tidak ke sekolah, namun kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu tetap mahu ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal pelajaran yang diajar oleh gurunya.
"Sememangnya, banjir yang dalamnya kira-kira satu meter atau paras paha tidak berbahaya bagi orang dewasa tetapi bagi kanak-kanak ia tetap berisiko.
"Sebab itulah, saya menggunakan 'perahu pusaka' peninggalan arwah nenek untuk menghantar anak saya ini ke sekolah.
"Pagi ke sekolah kebangsaan (SK) dan petang ke sekolah agama pula," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.
Menurut Ewan lagi, mereka sekeluarga terpaksa mengharungi air banjir kira-kira 750 meter menggunakan perahu tersebut untuk ke jalan utama yang tidak dinaiki air, apabila dia meletakkan motosikal dan kereta di kawasan itu.
Sementara, jarak sekolah agama dan sekolah kebangsaan anaknya itu adalah antara satu hingga 1.5 kilometer dari kediaman mereka, katanya.
"Mujur ada perahu peninggalan arwah nenek ini, jadi bolehlah saya gunakannya.
"Banjir kali ini agak dalam berbanding dengan banjir sebelumnya, kerana dulu kami boleh menggunakan motosikal untuk meredah banjir.
"Saya sebenarnya cukup kagum dengan semangat anak saya ini untuk ke sekolah walaupun terpaksa mengharung banjir dengan menggunakan perahu," katanya
Dalam pada itu, menurut Nur Akifa dia tetap mahu ke sekolah kerana tidak mahu tertinggal dalam menimba ilmu, lebih-lebih lagi dalam beberapa hari lagi peperiksaan untuk sekolah agama akan dijalankan.
-- BERNAMA