Perahu langgar tongkang: Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas

Rudi Affendi Khalik
Ogos 5, 2022 16:44 MYT
Anak panah menunjukkan lokasi perahu yang dinaikiempat sekeluarga karam selepas berlanggar dengan sebuah tongkang berhampiran jeti batu di seberang Pekan Kapit. - Foto JBPM Sarawak
KAPIT: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dikhuatiri lemas setelah perahu yang dinaikinya bersama-sama bapa, ibu dan seorang adiknya karam selepas terlanggar sebuah tongkang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9.00 pagi Jumaat berhampiran jeti batu di seberang Pekan Kapit, di sini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima bomba sekitar jam 9.45 pagi, keluarga tersebut sedang dalam perjalanan ke Pekan Kapit sebelum enjin perahu mereka tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan.
“Perahu tersebut kemudian dihanyutkan arus sebelum terlanggar tongkang yang sedang berlabuh.
Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Jenggut Antas, 10 tahun.
Tiga lagi mangsa iaitu bapa kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Antas Agang, 38, isteri dan anaknya yang berusia lima tahun bagaimanapun selamat.
Kesemua mereka berasal dari Rumah Agang Nanga Setekam, Baleh.
Pasukan bomba dengan kekuatan satu bot dan tujuh anggota, pihak polis dan beberapa agensi lain telah melancarkan gerakan mencari dan menyelamat di sekitar kawasan kejadian.
#lemas #karam #Kanak-kanak #Kapit
;