Perahu karam, warga emas ditemukan lemas di Tatau
Bernama
Februari 8, 2025 16:15 MYT
Februari 8, 2025 16:15 MYT
Mangsa ditemukan lemas oleh orang awam dan anak mangsa di tepi Sungai Sangan hari ini. - Gambar hiasan
SIBU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dalam kejadian perahu karam di Sungai Anap, Tatau, Bintulu pada Rabu lepas, ditemukan lemas pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata mangsa Lila Jali, 69, dijumpai pada 8.15 pagi.
"Ketua Balai telah dihubungi pihak tentera yang membantu usaha mencari dan menyelamat bahawa mangsa ditemukan lemas oleh orang awam dan anak mangsa di tepi Sungai Sangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum kejadian, mangsa dari Rumah Antau, Sungai Empang Baru, Tatau bersama isterinya menghantar anak lelaki mereka yang merupakan anggota tentera ke pekan Sangan menaiki bot pada 5.15 petang.
Setelah selesai menghantar anak mereka yang hampir tamat bercuti, pasangan itu bertolak pulang ke rumah panjang mereka pada 5.22 petang.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu anak mereka menerima panggilan daripada ketua rumah panjang mereka Tuai Rumah Antau Sait mengatakan perahu ibu bapanya telah karam kira-kira 10 kilometer dari Jeti Tatau.
Isteri mangsa ketika itu berjaya diselamatkan oleh penduduk berdekatan.
-- BERNAMA