Perahu karam: Tiga selaman bomba gagal temui mangsa
Azizah Alwi
Oktober 19, 2024 13:00 MYT
Oktober 19, 2024 13:00 MYT
KUCHING: Penyelam pasukan Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) Bomba dan Penyelamat Sarawak memulakan operasi dengan di Sungai Sarawak bagi mencari lima individu yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan sempena Regata Sarawak semalam.
Menurut pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii. selaman itu melibatkan dua anggota, berlangsung seawal jam 8 pagi.
Ops Cari Lamat yang memasuki hari kedua pada Sabtu melibatkan kekuatan 46 anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan 10 aset bot penyelamat.
Turut membantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis DiRaja Malaysia yang menaikkan dron dan kapal UKPS yang mengaktifkan sistem sonar - bagi pencarian dasar sungai.
Menurut Ling Hii, anggota PPDA telah melakukan selaman di beberapa lokasi yang ditandakan oleh sistem sonar tersebut.
“Tempoh selaman dilakukan selama 15 minit untuk pencarian pertama dengan radius selaman 5 hingga 5.6 meter manakala pencarian kedua dilakukan selama 10 minit .
"Pun begitu keputusan adalah negatif," kata beliau kepada Astro AWANI.
Terdahulu, lima individu hilang selepas perahu lumba yang dinaiki mereka karam dan tenggelam berhampiran kawasan perindustrian Bintawa.
Identiti mangsa yang hilang telah dikenal pasti sebagai Mohamad Ikhmal Sama'ail, Majurie MAharuf, Mohd Afuq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi.