Perahu karam: Mayat mangsa ketiga ditemukan

Astro Awani
Ogos 22, 2024 08:00 MYT
Mangsa yang berusia 14 tahun ditemui terapung oleh penduduk kampung di hulu sungai. - Astro AWANI
LUNDU: Mayat terakhir mangsa perahu karam di Selampit, Lundu Alsma Jitil berjaya ditemui sekitar jam 6.38 pagi Khamis.
Menurut Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, mangsa yang berusia 14 tahun ditemui terapung oleh penduduk kampung di hulu sungai, 100 meter dari lokasi kejadian, sebelum memaklumkannya kepada pasukan SAR yang bertugas.
Pada Rabu, dua mangsa tragedi tersebut ditemui pasukan CARILAMAT pada hari kedua operasi.
Mangsa pertama, Vilkie Wilson, pelajar berusia 15 tahun dijumpai timbul sekitar jam 11.58 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Manakala mayat kedua pula, yang identitinya disahkan sebagai Helena Fasha Petrus, 16, ditemui sekitar jam 5.30 petang Rabu, kira-kira 1 kilometer di hilir lokasi kejadian.
Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan masih dalam berpakaian seragam sekolah.
Dalam kejadian sekitar jam 6.10 pagi pagi Isnin, perahu yang membawa 20 penumpang, kebanyakannya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Senibong sedang menuju ke seberang sungai, sebelum ia karam.
Seramai 13 pelajar sekolah iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan berjaya diselamatkan, bersama-sama dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.
#perahu karam #pelajar sekolah #lemas #Tiong Ling Hii