Perahu dipukul ribut: Mayat nelayan kedua ditemui dalam lumpur
Adie Sufian Zulkefli
Jun 6, 2023 19:46 MYT
Jun 6, 2023 19:46 MYT
ALOR SETAR: Mayat seorang lagi nelayan yang hilang ketika keluar ke laut untuk memukat udang ditemukan di kawasan berlumpur paya bakau di Kuala Kangkung, di sini hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat Mohd Faudzi bin Tajuddin, 48, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 5.50 petang.
“Mayat ditemui di dalam lumpur paya bakau dekat Kuala Kangkung tidak jauh dari mayat pertama iaitu adiknya Mohd Farizan Tajuddin, 41, yang ditemui oleh nelayan sebelum ini.
“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota Maritim Malaysia dan bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Noor Azreyanti berkata, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Sebelum itu Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima laporan daripada saudara mangsa pada jam 4.45 pagi.
Dua beradik itu dikatakan menaiki sebuah perahu dari Jeti Kuala Sala ke laut untuk memukat udang sebelum dibadai ribut menyebabkan perahu dinaiki mereka terbalik.
Perahu terbabit ditemui terapung di laut oleh bot nelayan tempatan namun dua beradik itu gagal dikesan.