Perabot antara lebih 5,000 tan sampah dibuang dalam banjir di Terengganu
Nur Fazlizai Ali
Mac 24, 2022 07:45 MYT
Mac 24, 2022 07:45 MYT
KUALA TERENGGANU: Lebih 5,000 tan sampah dan sisa buangan dikutip dan dilupuskan akibat banjir luar jangka yang melanda daerah Hulu Terengganu dan Kemaman akhir Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak berkata, 2,830 tan sampah diuruskan Majlis Perbandaran Kemaman.
Manakala 2,700 tan lagi oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu.
Jumlah sampah yang ditinggalkan susulan bencana alam itu terlalu besar berbanding biasa dan menyebabkan kakitangan pembersihan terpaksa bekerja berlipat kali ganda untuk membersihkannya.
"Perabot pun ada, makanan biasalah, tapi yang perabot tu banyak terpaksa dilupuskan.
"Semua mereka buang di tong sampah sebab kita pun tak benarkan pembakaran terbuka," katanya.
Sementara itu, Alias menambah jumlah sampah yang dibuang di negeri ini dijangka meningkat pada Ramadan nanti susulan penggunaan pembungkus makanan di bazar dan pembaziran makanan oleh orang ramai.
Justeru itu beliau menggalakkan orang ramai supaya membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan dan berbelanja mengikut keperluan bagi mengelak berlakunya pembaziran.