Peperiksaan utama: Pelajar perlu anggap ia sebagai permainan, kurang tekanan

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 18, 2021 11:57 MYT
Prof Dr Siti Aishah turut menyarankan agar para guru menggunakan pendekatan lebih santai untuk meningkatkan motivasi pelajar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dinasihatkan untuk menganggap ia sebagai satu permainan.
Ini kerana menurut Pensyarah di Jabatan Pendidikan Kaunselor & Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian, Pendidikan, UPM, Prof Dr Siti Aishah Hassan, psikologi pelajar itu berubah apabila mereka memikirkan ia sebagai satu permainan.
“Apabila kita memandang perkara itu (peperiksaan utama) sebagai permainan, tidak kira kita ini sama ada ibu bapa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau guru sekali pun, tahap tekanan itu akan menurun.
“Jadi kalau kita nak berjaya dalam permainan, kita perlu ada persiapan tetapi pada masa sama kita tidak lupa bahawa kita sedang bermain jadi kita akan menghadapinya dengan keseronokan,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Peperiksaan Utama | Apa langkah tingkatkan motivasi pelajar?
Dalam pada itu, Prof Dr Siti Aishah turut menyarankan agar para guru menggunakan pendekatan lebih santai untuk meningkatkan motivasi pelajar terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan utama bulan depan.
“Jika kita menggunakan pendekatan dengan cara yang berlainan, contohnya kita membuat perbincangan secara santai, ia adalah lebih efektif.
“Jadi saya nasihatkan agar guru-guru tidak menggunakan pendekatan dengan cara yang tertekan dan kita berikan apa yang murid suka jadi mereka akan seronok untuk mengahadapi peperiksaan utama,” ujarnya.
BACA: Tiada keperluan tangguh peperiksaan SPM - PIBGN
Terdahulu, terdapat dakwaan bahawa motivasi pelajar menurun selepas kemungkinan pelajar berputus asa dan hilang keyakinan untuk menghadapi peperiksaan utama bulan depan.
Sebelum ini, KPM meminda tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM ke 22 Februari 2021.
#Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #pendidikan #peperiksaan #pelajar #persiapan #SVM #STAM #peperiksaan utama
;