Peperiksaan SPM 2022 bermula 30 Jan, libatkan 403,637 calon

Bernama
Januari 20, 2023 18:42 MYT
Peperiksaan SPM 2022 akan dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac depan melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac depan melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini berkata seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis yang diadakan antara 20 Feb hingga 15 Mac.
Ujian Amali Sains (Fizik) akan diadakan pada 30 Jan membabitkan 93,490 calon, Ujian Amali Sains (Biologi) pada 31 Jan membabitkan 74,642 calon, dan pada 2 Feb, seramai 94,672 calon akan menduduki Ujian Amali Sains (Kimia) dan 1,675 pelajar akan menduduki Ujian Amali Sains (Sains Tambahan).
Ujian Bertutur (Bahasa Melayu) akan diadakan pada 7 hingga 9 Feb melibatkan 397,854 calon, manakala Ujian Bertutur (Bahasa Inggeris) pula pada 13 hingga 15 Feb melibatkan 397,057 calon.
Ujian Mendengar (Bahasa Melayu) melibatkan 397,854 calon dan Ujian Mendengar (Bahasa Inggeris) membabitkan 397,057 calon akan diadakan pada 16 Feb.
KPM berkata seramai 131,318 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut.
"Sebanyak 3,355 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negara," katanya.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.
"Semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung," katanya.
KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
-- BERNAMA
#peperiksaan SPM #Sijil Pelajaran Malaysia #Kementerian Pendidikan #ujian
;