Peperiksaan SMA, SMATG, SMATD 2021 ditunda ke suku pertama 2022 - JAIS
Bernama
Julai 9, 2021 16:46 MYT
Julai 9, 2021 16:46 MYT
SHAH ALAM: Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) bagi tahun 2021 ditangguhkan ke awal suku pertama 2022 susulan pandemik COVID-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata peperiksaan kendalian JAIS itu sebelum ini dijadual diadakan antara Oktober dan November depan.
"Ia (penangguhan) bagi membolehkan calon-calon yang terlibat dapat menjalani peperiksaan dalam suasana yang lebih tenang dan selamat," katanya pada majlis pengisytiharan keputusan SMA, SMATQ dan SMATD tahun 2020 secara maya menerusi Facebook JAIS hari ini.
Mengenai keputusan ketiga-tiga peperiksaan untuk tahun 2020 itu, beliau berkata seramai 348 calon SMA dan 31 calon SMATQ mendapat pangkat Mumtaz atau cemerlang namun tiada calon mendapat keputusan Mumtaz bagi SMATD.
Menurutnya pada peperiksaan tahun 2019, seramai 888 calon SMA, 73 calon SMATQ serta tujuh calon SMATD mendapat pangkat Mumtaz.
Katanya semua calon SMA, SMATQ dan SMATD tahun 2020 boleh mula membuat semakan keputusan masing-masing secara dalam talian pada pautan https://result.jais.gov.my/.
-- BERNAMA
#Peperiksaan ditangguh
#sekolah agama
#Peperiksaan Sijil Menengah Agama
#SMA
#Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran
#JAIS
#SMATQ
#COVID-19
#Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah
#peperiksaan
#SMATD
#Mohd Shahzihan Ahmad