Penyunting video Astro Awani nyaris maut dihempap pokok tumbang di Jalan Parlimen
Aizat Sharif
Julai 4, 2013 19:13 MYT
Julai 4, 2013 19:13 MYT
Seorang penyunting video Astro Awani nyaris maut apabila kereta yang dinaikinya dihempap pokok yang tumbang berhampiran Padang Merbok di Jalan Parlimen petang tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika Mohd Shafik Firdaus Mohtar, 24, sedang memandu keretanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa dia terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Jalan Parlimen.
“Cuaca begitu mendung dan angin bertiup kencang ketika itu dan semasa kereta saya menghampiri terowong kereta api yang terletak berhampiran dengan SK Sultan Hishamuddin Alam Shah, saya ternampak ranting-ranting dan daun-daun dari pokok berhampiran terowong itu gugur,” kata Mohd Shafik.
Tanpa diduga, pokok tersebut turut tumbang dan sekaligus menghempap bumbung keretanya.
Sebuah kereta Mitsubishi Lancer yang berada di belakang kereta Proton Persona milik Shafik turut ditimpa pohon tersebut dan menyebabkan cerminnya pecah dan bumbungnya rosak teruk.
“Dentuman kuat diatas bumbung kereta saya itu menyebabkan saya tergamam. Saya cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari kereta namun pintu kereta pula gagal dibuka kerana terhalang oleh dahan dan ranting dari pokok yang tumbang itu,” katanya lagi.
Beberapa pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu mengeluarkannya dan selepas beberapa ketika barulah pintu keretanya dapat dibuka.
Meskipun bumbung dan beberapa bahagian keretanya rosak teruk, Mohd Shafik dan dua mangsa lain yang berada dalam kereta Mitsubishi Lancer terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Walaupun kereta saya rosak teruk, saya bersyukur kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” Mohd Shafik berkata.
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba 45 minit kemudian dan bertindak memotong bahagian pokok yang tumbang itu.
Malah, polis trafik turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal lalulintas.
Mohd Shafik kemudian dinasihatkan oleh seorang pegawai DBKL untuk pergi ke pejabat DBKL membuat tuntutan kerugian.