Penyu tempayan dilepaskan semula ke laut
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 24, 2019 19:22 MYT
Oktober 24, 2019 19:22 MYT
Seekor penyu spesis Loggerhead atau dikenali sebagai penyu tempayan yang pertama kali ditemui di perairan Semenanjung dilepaskan semula ke laut di persisiran Pantai Pasir Belanda Pulau Pinang hari ini.
Penyu betina seberat lebih 60kg itu dilepaskan di Pantai Pasir Belanda di Gertak Sanggul, selepas ia ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi pada 7 Sept lalu.
Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar, berkata penemuan penyu spesis Loggerhead itu sesuatu yang luar biasa, kerana spesis tersebut tidak berasal dari kawasan perairan Malaysia.
Noraisyah berkata, semakan pihaknya mendapati penyu tempayan itu diisytiharkan sebagai spesis terancam dan berasal dari Lautan Hindi, Pasifik, Atlantik dan Mediterranean.
Katanya, spesis itu pertama kali ditemui di perairan Sarawak dan ini adalah penemuan kedua, selain yang pertama di Semenanjung Malaysia.
"Untuk makluman penyu Loggerhead ini bukanlah penyu yang biasa dijumpa di perairan negara kita terutamanya di Pulau Pinang. Ada penyu mendarat, tetapi spesis bukan asal dari perairan kita lebih Atlantik , Pasifik, Lautan Hindi dan Mediterranean," katanya selepas pelepasan penyu terbabit di Bayan Lepas pada Khamis.
Noraisyah berkata orang ramai terutamanya nelayan dan pemancing diminta untuk melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya terjumpa penyu yang terdampar atau tersangkut di pukat, untuk tujuan rekod biarpun ia mampu berenang dengan sempurna.
"Jangan ambil mudah spesis terancam ini dan jika kita tidak menjaga baik tidak mustahil penyu ini akan pupus," katanya lagi.
Terdahulu, program pelepasan penyu tempayan itu menarik perhatian puluhan penduduk, termasuk 38 kanak-kanak dari Tabika KEMAS Pasir Belanda.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.
Mac lalu, Jabatan Perikanan Negeri melepaskan 70 anak penyu spesis lipas daripada induknya yang mendarat dan bertelur pada 18 Jan lalu di lokasi sama.