Penyu sesat di stesen janakuasa diselamatkan APM

Bernama
November 13, 2021 17:33 MYT
Penyu yang ditemukan tersesat di laluan bahagian penyejuk stesen janakuasa itu berjaya diselamatkan dan dipindahkan. - Bernama
PORT DICKSON: Seekor penyu agar seberat 40 hingga 50 kilogram ditemukan sesat di kawasan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar Port Dickson pagi ini.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata penyu berusia tujuh hingga 10 tahun itu ditemukan pekerja stesen janakuasa yang kemudiannya menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 11.56 pagi.
"Penyu itu ditemukan tersesat di laluan bahagian penyejuk stesen janakuasa dan dipercayai penyu itu sedang mencari arah ke pantai selain mencari tempat ingin bertelur," katanya ketika dihubungi Bernama.
Susulan itu, empat anggota termasuk pegawai APM Port Dickson bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan reptilia berkenaan untuk dibawa ke tempat pelepasan yang lebih selamat.
Katanya, penyu itu dilepaskan dalam keadaan baik di Pantai Tanjung Gemok pada 1.29 petang.
-- BERNAMA
#angkatan pertahanan awam #penyu agar #Port Dickson #hidupan marin
;