Penyu PD pulang bertelur, orang ramai jangan buat kacau ganggu

Sinar Harian
April 28, 2024 16:42 MYT
Hishamudin menunjukkan sarang telur penyu yang dijumpainya. - Foto Sinar Harian
PORT DICKSON: Selepas menemui 159 telur penyu karah di Pantai Tanjung Gemok di sini pada Jumaat, kini sebanyak 117 telur penyu agar pula ditemui pada Sabtu.
Telur berkenaan ditemui di Pantai Bagan Pinang kira-kira jam 8. 30 pagi oleh ranjer penyu yang juga Pengerusi Pusat Pemuliharaan Penyu Glory Beach Resort, Hishamudin Abdul Manap.
Menurut Hishamudin, kesemua telur tersebut telah dikutip dan dieramkan di pusat penetasan telur penyu di Glory Beach Resort.
"Proses pengeraman ini akan ambil masa dua bulan dan berdasarkan pengalaman saya selama 15 tahun dalam bidang ini, biasanya 90 peratus telur-telur ini berjaya ditetaskan.
"Jadi memandangkan sekarang ini sudah mula musim pendaratan penyu, kami renjer penyu akan mula membuat rondaan di kawasan pantai untuk mencari sarang penyu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, biasanya mereka akan menjejaki bekas trek penyu naik ke darat dan reptilia tersebut akan naik ketika air pasang.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, bulan Mac hingga Oktober merupakan musim penetasan penyu agar dan penyu karah di Port Dickson setiap tahun.
"Dalam bulan ini saja sebanyak lima sarang telur penyu agar dan karah dijumpai di pantai Port Dickson dan sebanyak 456 biji telur telah diselamatkan.
"Jadi kita menasihat orang awam supaya tidak mengganggu, mengacau, mengutip dan jual telur penyu kerana dilindungi mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang menjumpai penyu naik bersarang, cedera atau mati diharap dapat maklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#penyu bertelur #Port Dickson #Pantai Tanjung Gemok #penyu karah #Negeri Sembilan
;