Penyu mati ditemukan di Pantai Beting Lintang
Bernama
Februari 7, 2023 09:45 MYT
Februari 7, 2023 09:45 MYT
BANDAR PERMAISURI: Seekor penyu dipercayai spesies karah ditemukan mati terdampar di Pantai Beting Lintang di Kampung Gong Batu dekat sini, kira-kira 6.30 petang semalam.
Ramlah Mamat, 48, yang menemukan bangkai reptilia itu berkata dia pada awalnya terhidu bau busuk sebelum ternampak bangkai penyu itu di sebalik ranting pokok ru di tepi pantai itu.
"Kami sekeluarga datang beriadah di sini dan rasa teruja bila ternampak penyu, tapi dalam masa sama rasa sedih pula sebab dah mati," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Katanya lagi penyu berkenaan sepanjang kira-kira 75 sentimeter, dipercayai telah mati dalam tempoh beberapa hari kerana bahagian kepalanya hanya tinggal tengkorak, manakala bahagian bawah badannya sudah mula mereput.
Seorang lagi pengunjung pantai itu, Zulkifli Ismail, 60, berkata penyu karah juga dikenali sebagai 'penyu sisik' oleh orang tempatan, namun dia tidak dapat mengenal pasti jantina haiwan itu kerana sudah mereput.
"Saya mengesyaki ia mati di laut sebelum dihanyutkan ombak ke tebing pantai ketika kejadian air pasang besar minggu lepas," katanya yang terkilan kerana banyak penemuan haiwan ikon negeri itu mati kebelakangan ini sama ada akibat kecuaian manusia atau faktor semula jadi.
-- BERNAMA