Penyu lipas kembali bertelur di pantai Pulau Pinang
Bernama
Mac 18, 2023 04:40 MYT
Mac 18, 2023 04:40 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Perikanan Pulau Pinang memaklumkan selepas empat tahun, spesies penyu lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys Olivecia kembali bertelur di pantai negeri itu.
Pengarahnya Yazeereen A Bakar berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menjumpai anak-anak penyu lipas yang baru menetas di sekitar pantai Hotel Angsana Teluk Bahang, dekat sini.
"Pasukan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Sumber telah segera ke kawasan pantai itu dan mendapati terdapat 110 ekor anak penyu lipas telah menetas di kawasan tersebut.
"Semua anak penyu lipas itu dialihkan ke Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut, dekat sini untuk tujuan pemuliharaan dan penjagaan lanjut sebelum dilepaskan ke laut semula," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata Jabatan Perikanan Pulau Pinang mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan keberadaan penyu itu dan diharapkan usaha dan kerjasama baik seperti ini akan dapat memulihara haiwan itu demi menjamin kelestarian populasi spesies penyu berkenaan yang semakin pupus.
Yazeereen berkata Pulau Pinang adalah antara negeri yang terkenal dengan kehadiran penyu lipas di Malaysia selain Pahang dan Terengganu, namun trend pendaratan penyu belimbing dan lipas di Malaysia dan negeri ini semakin berkurangan disebabkan faktor ancaman semula jadi serta manusia.
"Kali terakhir penyu lipas kembali bertelur di pantai sekitar Pulau Pinang adalah pada 2019, iaitu empat tahun yang lepas," katanya.
-- BERNAMA