Penyu gergasi diselamatkan dari pasar, dilepaskan ke Danau Girang
Bernama
Ogos 21, 2015 08:47 MYT
Ogos 21, 2015 08:47 MYT
Seekor penyu gergasi cangkerang lembut Asia diselamatkan dari sebuah pasar dekat Kota Kinabalu oleh orang awam, sebelum ia dilepaskan kembali ke Danau Girang dalam Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.
Penyu itu disenaraikan sebagai spesies terancam dalam senarai Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) selain turut disenaraikan dalam Lampiran II Konvensyen mengenai Pemerdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).
Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang Dr Pengarah Benoit Goossens berkata seperti kebanyakan penyu air tawar di rantau ini, ancaman terbesar penyu gergasi cangkerang lembut Asia ialah kegiatan memburu untuk pemerdagangan diikuti oleh kemusnahan habitat akibat pembasmian hutan, pembalakan, kebakaran hutan dan perubahan tanah untuk pertanian dan penempatan.
Bahagian karapas penyu gergasi Asia itu biasanya berukuran antara 70 hingga 100 sentimeter (sm) dan berat spesies itu boleh mencecah sehingga 100 kilogram (kg).
"Buruan dilakukan bagi mendapatkan telur dan daging yang dimakan oleh penduduk tempatan atau dijual di pasaran tempatan dan pasaran makanan serantau, seperti haiwan yang diselamatkan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Goossens berkata sama seperti spesies hidupan liar lain di Sabah seperti tenggiling, landak, musang dan ular sawa, penyu air tawar diperdagangkan untuk dagingnya dan sering dibeli pengusaha restoran.
Beliau berkata Sabah kaya dengan pelbagai biodiversiti dan pelancong dari seluruh dunia mengunjungi negeri ini untuk melihat sendiri hidupan liar yang ada.
Justeru itu, katanya semua orang bertanggung jawab melindungi haiwan itu.
Pada 23 Julai lepas, penyu seberat 15 kg itu diselamatkan dari jualan di Tamu Donggongon, Penampang oleh seorang wanita yang kemudian menyerahkannya kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Serene Voo Nyuk Wei berkata beliau menyayangi dan menghormati semua makhluk hidup, dan terpaksa membeli penyu itu kerana tidak mahu ia menjadi santapan di restoran.
"Saya membelinya dengan harga RM700. Selepas itu Unit Penyelamat Hidupan Liar mengambil penyu itu dari rumah saya dan menjaganya," kata beliau.
Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar dan doktor veterinar Dr Diana Ramirez berkata selepas mengambil haiwan itu, pemeriksaan perubatan sepenuhnya dijalankan untuk mengetahui keadaan kesihatannya.
"Ia mengalami sedikit kecacatan pada karapasnya tetapi selepas pemantauan selama beberapa hari dan diberi vitaman tambahan, kami memutuskan ia boleh dilepaskan kembali ke habitat asalnya," kata beliau.
Beberapa hari kemudian, penyu itu dibawa dengan kereta dari Kota Kinabalu ke Sungai Kinabatangan sebelum dilepaskan ke Danau Girang.