Penyokong Zahid mula penuhi Mahkamah Tinggi KL

Ridauddin Daud
Januari 24, 2022 08:59 MYT
Puluhan penyokong Ahmad Zahid dilihat mula membanjiri Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi Isnin. -Astro AWANI/Ridauddin Daud
KUALA LUMPUR: Puluhan penyokong kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat mula membanjiri Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Mereka dilihat mula berada di pekarangan dan luar mahkamah sejak jam 8.30 pagi lagi. Perhimpunan diadakan sebagai tanda sokongan kepada Ahmad Zahid.
Buat masa ini, keadaan terkawal dan beberapa anggota polis juga dilihat mengawal keadaan.
Hari ini mahkamah akan menetapkan sama ada Ahmad Zahid dibebas atau dipanggil untuk membela diri di atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Ia akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah sekitar jam 9.30 pagi ini.
Jika keputusan mahkamah memihak kepada pasukan pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dipanggil untuk membela diri.
Semuanya akan terjawab sedikit masa lagi dan pastinya, apa saja keputusan, ia akan mendapat tumpuan jutaan rakyat Malaysia sepanjang hari ini, bahkan mungkin juga sepanjang minggu ini.

9.00 pagi Presiden UMNO, DS @DrZahidHamidi tiba di Kompleks Mahkamah KL. Ketibaannya disambut penyokong2 yg dari awal pagi berada di sini.@501Awani #AWANInews pic.twitter.com/8Rxfu3FeIY

— Ridauddin Daud (@RidauddinDaud) January 24, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Zahid Hamidi #Collin Lawrence Sequerah #Presiden UMNO #kompleks mahkamah kuala lumpur
;