Penyokong politik perlu berani tukar ketua terlibat rasuah - Hussamuddin

Sinar Harian
Januari 17, 2021 16:11 MYT
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berhasrat membangkitkan semangat rakyat supaya serius membanteras rasuah dan lakukan reformasi menyeluruh. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Penyokong politik perlu menukar ketua mereka yang terlibat dengan rasuah serta tidak lagi bersekongkol dengan rasuah.
Justeru, menerusi kempen Sinar Untuk Malaysia, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berhasrat membangkitkan semangat rakyat supaya serius membanteras rasuah dan lakukan reformasi menyeluruh.
Tegasnya, format kempen tersebut ialah perjuangan bersama atau jihad yang harus dipikul bersama.
“Jadi kempen ini sebagai wake up call kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bangun bangkit dan tentang secara bersungguh-sungguh dan secara tersusun.
“Ini merupakan sebuah kebangkitan rakyat menentang rasuah bukan hendak menjatuhkan kerajaan tapi menentang rasuah.
“Bukan hendak menentang sistem tapi hendak tukar ekosistem,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Ahad.
Tambah beliau, negara kini memerlukan sistem organisasi baharu memandangkan yang ada sekarang sudah gagal untuk memerangi rasuah malah negara memerlukan orang baharu untuk memimpin juga.
“Kita perlu komitmen baharu daripada rakyat. Rakyat Malaysia yang membenarkan keruntuhan moral harus bangkit. Rakyat kena bangkit dengan penuh tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.
“Reformasi perlu dilakukan dari bawah sampai ke atas dengan melakukan semua perubahan seperti sikap, karakter, moral dan bangsa.
“Sekarang ini ia merupakan satu gerakan reformasi bukan dari pemimpin tapi gerakan rakyat yang berkolaboratif dan berjuang bersama,” ujarnya.
Jelasnya, Sinar Untuk Malaysia merupakan sebuah harapan baharu, perlu ada sinar namun sinarnya bukan ditentukan oleh pemimpin tetapi rakyat yang menentukannya.
“Rakyat mesti bergabung mengikut kapasiti masing-masing. Maksudnya, kita kena tingkatkan tiga perkara iaitu sistem nilai, pendidikan dan kesihatan serta ekonomi.
“Kempen ini juga merupakan sebuah gerakan untuk membina balik negara dengan memberi penekanan kepada tiga sistem penting itu,” katanya.
#Rasuah #banteras rasuah #Sinar Harian #SPRM #banteras #beri rasuah #terima rasuah #politik #jihad #ekonomi #kerajaan #pendidikan #rakyat #rakyat Malaysia
;