Penyokong Palanivel failkan saman sivil terhadap Subramaniam
T K Letchumy Tamboo
Februari 5, 2016 17:16 MYT
Februari 5, 2016 17:16 MYT
Sekumpulan penyokong mantan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel hari ini memfailkan saman sivil terhadap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam dan tujuh yang lain.
Kumpulan yang diketuai oleh bekas pengarah strategik parti itu, A.K. Ramalingam, memfailkan saman berkenaan melalui peguam Datuk R. Ramanan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Melalui saman itu, kumpulan itu memohon supaya Subramaniam tidak lagi digelar Presiden MIC kerana mereka mendakwa beliau telah menggunakan taktik penipuan untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Mereka turut berkata sebab utama saman itu difailkan adalah untuk menuntut keadilan.
Ramalingam berkata, saman sivil itu turut menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah, sebagai salah seorang defendan.
“Defendan-defendan yang lain termasuklah S. Vigneswaran, Jaspal Singh, T. Mohan. A. Sakthivel, A. Vasanthi dan Akmal Yahya.
“Plaintif-plaintifnya pula adalah V. Ganesh, Henry Benedict, M. Sathiyamurthi, George Alexander, R. Prabu, R. Sithambaram Pillay dan V. Rajoo,” kata Ramalingan di satu sidang media di luar bangunan mahkamah itu.
Walau bagaimanapun, pernyataan tuntutan kes tersebut tidak diedarkan atau ditunjukkan kepada pihak media.
“Sebab mengapa saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini ialah kerana kami harus memberi salinan (pernyataan tuntutan ) yang belum dibuka kepada pihak defendan secepat mungkin. Ia mungkin akan dilakukan pada Rabu, Khamis atau Jumaat (akan datang).
"Selepas itu, kami akan mengadakan satu lagi sidang akhbar dan mengedarkan dokumen ini kepada media, " kata Ramalingam .
Ramanan pula menggesa Barisan Nasional (BN) untuk menggantung tugas Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan.
“Saya meminta pihak kepimpinan BN, selepas membaca pernyataan tuntutan, untuk menggantung Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan berkuatkuasa serta merta.
Sementara itu, beratus-ratus orang yang mendakwa diri mereka sebagai penyokong Palanivel, telah mula tiba di mahkamah itu seawal 7 pagi.
Mereka dilihat berlegar-legar di sekitar kompleks mahkamah sementara menunggu kehadiran Ramanan dan Ramalingam.
Beberapa bas yang membawa penyokong-penyokong dari Johor dan Kedah, kelihatan di tempat letak kereta mahkamah tersebut, menyebabkan tempat letak kereta yang sering sesak itu, bertambah sesak.