Penyokong JDT kecewa bas tidak muncul
Astro Awani
Jun 29, 2013 16:11 MYT
Jun 29, 2013 16:11 MYT
Kemeriahan perlawanan akhir Piala FA malam ini yang sepatutnya di rasai oleh semua peminat bola sepak tempatan namun tidak bagi kira-kira 125 orang penyokong Johor Darul Takzim (JDT) yang ternyata kecewa apabila tidak berpeluang ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini ekoran bas yang sepatutnya membawa rombongan penyokong tersebut tidak muncul seperti yang dijanjikan untuk bertolak pada jam 8 pagi.
Rombongan ini yang dikenakan bayaran RM110 seorang dijanjikan akan mendapat tiket perlawanan, pengangkutan pergi dan balik, sarapan, makan tengahari serta cenderahati.
Namun setelah hampir lima jam menunggu akhirnya pihak penganjur memberi kata putus rombongan tersebut dibatalkan berikutan pihak penganjur gagal menyediakan tiket dan bas seperti yang dijanjikan kepada mereka.
Rata-rata penyokong tegar Harimau Selatan yang menyertai rombongan ini kecewa dengan tindakan pihak penganjur yang tidak dapat menggotakan janji mereka.
"Itulah kita orang sampai pukul 8 pagi pastu tunggu-tunggu bas tidak datang. Lepastu cakap bas sekolah padahal yang dia terbit ialah bus persiaran. Kita juga cuba nasib bawa kereta sendiri. Tidak ada sebab bayar itu kan sebab pakej tiket dengan transport pergi balik dan dia janji anda makanan dan ada cederahati sekali,” kata penyokong JDT Norhaslinda Mohd Roslan
"Pihak penganjur pun datang dalam pukul 9 lebih 10 jadi dan jadi tanda tanya kerana bas pun tak nampak dan mereka beri alasan macam-macam. Mereka pun tidak ada jawapan bila kita tanya tiket mana. Kita orang kecewa lah,” kata Mohd Rasul Abd Razak.
"Saya sudah ada tiket tapi saya dah penat dah. Tapi masalahnya bas tak ada tapi macam mana saya nak pergi. Mak bapak saya dah bagi kebenaran untuk pergi dan bukan senang nak pergi final kan setahun sekali bukan. Sedih lah,” kata Mohd Daniyal A. Rahim.
Rombongan ini diarah berkumpul di Stadium Larkin Johor Bahru dengan membawa resit pembayaran yang dibuat melalui bank.
Setelah diasak oleh pembeli, akhirnya pihak penganjur mengambil langkah memulangkan wang kepada setiap peserta rombongan yang keseluruhannya berjumlah RM11,310.