Penyokong Bossku mahu Najib-Muhyiddin kembali 'bersatu'

Astro Awani
November 4, 2023 06:30 MYT
Muhyiddin pada Jumaat melalu kemas kini di laman Facebooknya secara terbuka bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Najib, yang kini disahkan positif COVID-19. - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak atau dikenali sebagai ‘Bossku’ meletakkan harapan agar bekas Perdana Menteri itu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka lembaran baharu, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas pemimpin nombor satu negara itu, bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup.
Beliau menyuarakan perkara itu selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendoakan kesembuhan Najib yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat COVID-19, semalam.
"Negara akan menjadi lebih hebat jika dua figura ini bergabung.
“Saya yakin harga bahan keperluan asas akan naik lebih tinggi apabila minyak diesel ditarik subsidi dan cukai perkhidmatan (SST) naik 8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sudah tujuh tahun penyokong tegar Najib menanti saat tersebut, dan akhirnya ia 'terlerai' selepas Muhyiddin secara terbuka mendoakan Najib.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan itu yakin UMNO akan kembali kukuh, selain Najib berada semula di arena politik tanah air sekiranya bersama dengan PN.
“Kita tunggu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi momentum harus kita mainkan.
“Kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), percayalah kita akan gembleng tenaga untuk bersama PN. Ayuh kita ke sana, jangan tunggu lagi.
“Ingatlah, berpeganglah dengan tali Allah, janganlah kamu bercerai-berai. Insya-Allah, Muhyiddin dan Najib akan bergabung kali ini,” katanya.
Pada Jumaat, Muhyiddin buat pertama kali secara terbuka bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Najib, yang kini disahkan positif COVID-19.
Kemas kini yang dimuat naik Ahli Parlimen Pagoh itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikut-pengikut laman sosialnya, yang antaranya turut memuji sikap Muhyiddin yang prihatin terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Keretakan hubungan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dengan Najib, bukan lagi rahsia umum terutamanya selepas beliau memilih untuk 'melawan' bekas 'boss'nya itu melalui pendedahan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rentetan daripada itu, pada 2015 Muhyiddin terpaksa membayar harga yang mahal apabila disingkirkan daripada jawatannya ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Najib kini sudah 14 bulan menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Berhad.
#Penyokong Najib bossku #Najib Razak #Hubungan Najib dan Muhyiddin
;