Penyiasat rampas rifel AR-15 susulan cubaan bunuh Trump

Bernama
Julai 14, 2024 23:03 MYT
AR-15 telah menjadi kontroversi dalam beberapa dekad kebelakangan ini setelah digunakan dalam beberapa insiden tembakan beramai-ramai di AS. - Gambar hiasan/TheAlphaWolf
WASHINGTON: Penyiasat merampas rifel AR-15 susulan cubaan membunuh bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, di satu perhimpunan kempen di Pennsylvania pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik laporan media.
Senjata itu dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan berkenaan, menurut laporan The New York Times dan The Washington Post. Trump hanya mengalami luka ringan di telinganya, tetapi seorang lelaki terbunuh dan dua lagi cedera parah dalam kejadian di bandar kecil Butler, utara Pittsburgh.
AR-15 ialah rifel separa automatik yang dihasilkan oleh pengeluar senjata Colt. Senjata ini hampir serupa dengan rifel serangan M16 yang digunakan oleh tentera AS.
Berbeza dengan versi tentera, AR-15 tidak mampu menembak secara berterusan, tetapi penembak berpengalaman masih boleh melepaskan sejumlah besar tembakan dalam masa yang singkat.
Kekuatan tembakan rifel ini berbeza mengikut pengeluar. Senjata ini boleh dibeli dalam talian di Amerika Syarikat pada harga sekitar AS$1,000.
AR-15 telah menjadi kontroversi dalam beberapa dekad kebelakangan ini setelah digunakan dalam beberapa insiden tembakan beramai-ramai di AS. Senjata ini telah diharamkan selama beberapa tahun, tetapi telah tersedia secara bebas sejak 2004.
Aktivis hak senjata berhujah bahawa berjuta-juta rakyat Amerika menggunakan senjata itu sebagai rifel memburu, untuk mempertahankan diri atau untuk hiburan di lapangan tembak.
Walau bagaimanapun, penggunaannya dalam cubaan pembunuhan terhadap bekas presiden Trump, yang bertanding untuk menjatuhkan penggantinya Presiden Joe Biden dalam pilihan raya November, pasti akan mencetuskan perdebatan semula mengenai kawalan senjata api di AS.
-- BERNAMA
#rifel ar-15 #senjata api #Donald Trump #cubaan bunuh