Penyiasat Bukit Aman ambil alih siasatan OKT mati dalam tahanan
Aizat Sharif
Mei 23, 2013 17:10 MYT
Mei 23, 2013 17:10 MYT
Berikutan terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian tahanan, N.Dharmendran, 32 di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Selasa lepas, siasatan terhadap kejadian itu kini telah diambil alih oleh satu pasukan khas polis Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata siasatan baru sahaja bermula setelah polis mengklasifikasikan kes tersebut dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Masih terlalu awal untuk mengambil tindakan seperti menahan kerja terhadap pegawai polis terlibat kerana masih lagi berlangsung. Pihak polis sangat memandang berat dengan kejadian ini dan saya jamin terhadap ahli keluarga mangsa dan masyarakat bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus," kata Mohmad dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur tadi.
Menurutnya, siasatan terhadap kes tersebut sama sekali tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam menyoal siasat mangsa.
"Saya mengucapkan takziah terhadap keluarga mangsa dan berharap keluarga dan masyarakat tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung kes kematian itu dan berilah peluang agar siastan terperinci dapat dilakukan untuk mengetahui punca kematian sebenarnya," katanya.
Ahli keluarga mangsa turut telah membuat laporan polis semalam setelah keputusan bedah siasat dikeluarkan.
Dharmendran telah ditangkap bersama tiga lagi lelaki pada 12 Mei yang lalu untuk membantu siasatan kes pergaduhan di Bandar Tun Razak awal bulan ini.
Sementara itu, kira-kira 20 orang termasuk ahli keluarga mangsa telah membuat satu protes di hadapan Ibu Pejabat Polis KL pada jam 3 petang tadi.
Protes tersebut turut disertai oleh bekas Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam, namun tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Protes tersebut tamat kira-kira 10 minit kemudian.