Penyewa yang gagal lunas sewa bulanan berdepan tindakan keras
Hans Yusoff
Disember 16, 2013 18:54 MYT
Disember 16, 2013 18:54 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan memotong bekalan air dan elektrik keatas para penyewa perumahan rakyat (PPR) yang gagal melunaskan sewa bulanan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata tindakan itu dibuat bagi memastikan pihaknya tidak terus menanggung beban penyelengaraan yang tinggi.
"Kami akan mengambil tindakan dengan menamatkan bekalan air kepada mereka. Ada di antara mereka yang mengambil tindakan sambil lewa walaupun mereka mampu untuk membuat bayaran. Jika sekalipun mereka tidak mampu untuk melunaskan bayaran, mereka boleh datang kepada kami kerana pihak DBKL juga ada tanggungjawab sosial korporat.”
Setakat ini DBKL telah mengenakan kadar bayaran yang rendah kepada para penyewa iaitu sebanyak RM124 sebulan dan terpaksa menanggung subsidi sebanyak lebih RM250 bagi setiap unit./
Tengku Adnan berkata demikian dalam sidang media di Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penyewaan Rumah Awam DBKL di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.