Penyewa ‘tinggal’ bom mortar dalam rumah
Shuhada Abdul Kadir
Julai 8, 2024 12:40 MYT
Julai 8, 2024 12:40 MYT
JASIN: Seorang wanita warga emas terkejut selepas sebutir bom mortar ditemui ditinggalkan di rumah sewa miliknya di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, objek itu dipercayai ditinggalkan oleh bekas penyewa yang telah berpindah keluar pada Januari lalu.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan dibuat oleh warga emas berusia 65 tahun itu selepas dia dimaklumkan berhubung penemuan berkenaan oleh seorang jiran lelaki yang membantunya mengemas rumah teres setingkat tersebut.
“Wanita ini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau pada jam 7.58 Sabtu lalu memaklumkan perkara berkenaan sebelum sepasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ke lokasi kejadian.
“Kawalan di lokasi kejadian kemudian menemui objek tersebut dan disahkan bom jenis Mortar 60mm Practice Inert yang digunakan untuk latihan dengan ukuran panjang 300 milimeter (mm) dan diameter 60 mm,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut katanya, bagaimanapun objek itu turut disahkan tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan dibawa oleh UPB ke IPK Melaka untuk tindakan pelupusan.
Katanya, pihak polis turut mengesan bekas penyewa rumah berkenaan yang tinggal di kediaman itu sejak 2022 bagi membantu siasatan berhubung penemuan berkenaan.
“Selepas penyewa ini keluar, rumah berkenaan kosong sejak Januari lalu dan pemilik rumah mohon bantuan seorang jiran lelaki berusia 30-an untuk mengemas kediaman tersebut.
“Jiran wanita terbabit yang terkejut dengan penemuan bom itu telah menghantar gambar kepadanya sebelum perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis,” tambahnya.