Penyewa premis niaga di Kedah terima rebat 50 peratus
Adie Sufian Zulkefli
Mac 26, 2020 10:25 MYT
Mac 26, 2020 10:25 MYT
Merasai keluh kesah dan kepayahan peniaga, Kerajaan Negeri Kedah memutuskan memberi rebat 50 peratus kepada peniaga yang menyewa premis niaga di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mulai Mac hingga Mei ini.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, rebat tiga bulan itu diberikan bagi meringankan bebanan ditanggung peniaga yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April.
"Rebat 50 peratus bagi sewa premis niaga PBT seperti lot-lot niaga, gerai medan selera dan lain lain selama tiga bulan, iaitu daripada bulan Mac sampai bulan Mei 2020," katanya di sini hari ini.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri sedar ramai rakyat yang terjejas mata pencarian akibat masalah berkaitan COVID-19, seperti penjaja yang menjual pakaian, pemandu teksi dan pekerja bergaji hari.
Mereka ini walaupun tidak tergolong dalam golongan asnaf, tetapi layak mendapat bantuan zakat dalam situasi ini, tambahnya.
Justeru, kata Mukhriz, kerajaan negeri akan berusaha mencari insiatif terbaik bagi membantu meringankan beban rakyat dalam tempoh PKP ini dan memastikan tiada yang terus hilang sumber pendapatan.
Mukhriz turut memaklumkan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masih berfungsi seperti biasa dan kerajaan negeri akan mengambil alih pembayaran elaun mereka bermula Mac hingga Disember ini.
Menurutnya, khidmat serta peranan MPKK terhadap masyarakat setempat akan diteruskan walaupun berlaku perubahan pentadbiran di peringkat kerajaan persekutuan.
"Jadi, kita akan mengambil alih pembayaran elaun MPKK daripada Mac ini sampailah ke bulan Disember 2020, selepas itu kita kira semula," katanya.
Sebelum ini, elaun MPKK di seluruh negara dilaporkan hanya dibayar setakat Februari lalu berikutan penangguhan sementara tugas MPKK sehingga pelantikan baharu Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dibuat.
Sementara itu, Mukhriz memberitahu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ditangguh sebelum ini dijangka akan diadakan selepas tamat perintah PKP iaitu pada 16 April ini.
#Alor Setar
#Kedah
#kerajaan
#mata pencarian
#menteri
#Mukhriz Mahathir
#peniaga
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#premis niaga
#rakyat
#rebat
#sewa
#teksi