Penyesalan satu kesakitan yang tiada ubat, pohon kemaafan sebelum terlewat
Maziatul Syima Rusly
April 24, 2021 11:45 MYT
April 24, 2021 11:45 MYT
MUNGKIN kita pernah mendengar bahawa jika sakit dapat diukur dengan skala, maka sakit ketika melahirkan anak merupakan antara jenis kesakitan yang paling sakit dialami oleh manusia. Namun ada juga pandangan yang mengatakan bahawa sakit kayap, sakit batu karang atau sakit gigi merupakan jenis kesakitan yang setara atau lebih teruk berbanding sakit ketika melahirkan anak. Walau apapun jenis kesakitan itu, suatu hari nanti ia tetap akan hilang. Sama ada ia diubati, sembuh dengan sendiri atau diakhiri dengan sebuah kematian.
Namun ada sejenis kesakitan yang tidak mampu diubati dan tidak hilang walau masa bersilih ganti. Penyesalan ialah sejenis kesakitan yang tiada ubat, tidak boleh diukur mengikut skala dan tiada tempoh masa penamat.
Kata-kata yang ditutur tidak dapat ditelan kembali, perbuatan yang dilakukan tidak dapat ditarik semula dan peredaran masa tidak dapat dihenti walau apapun sebabnya.
Wujud ketika sejuta kemaafan tidak lagi dapat mengembalikan sebuah kehidupan, wujud ketika sejuta kekesalan tidak lagi dapat mengembalikan sebuah kesihatan, wujud ketika titisan air mata tidak mampu lagi mengembalikan sebuah kekecewaan dan wujud ketika sejuta kebenaran tidak dapat mengembalikan semula sebuah kepercayaan.
Penyesalan berupaya membuatkan seseorang itu terus dilanda kesedihan sepanjang hidupnya, penyesalan juga berupaya membuatkan seseorang menahan kerinduan yang tiada penghujungnya dan penyesalan turut berupaya membuatkan seseorang itu hilang kewarasannya. Ada penyesalan yang terjadi akibat kecuaian, ada yang terjadi akibat keegoan dan ada juga yang terjadi akibat tidak pernah mensyukuri nikmat Tuhan.
Sempena keberkatan bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan mencari jalan untuk menenangkan hati. Andai ada yang pernah dikasari atau disakiti, mohon maaf sebelum masa melewati. Andai ada yang pernah dibelot atau dikhianati, buatlah pengakuan sebelum semuanya menjadi benci. Mungkin kemaafan dan pengakuan dari kita adalah sesuatu yang amat dinanti.
Tiada salahnya jika kita sentiasa bermuhasabah dan merendah diri. Sesungguhnya ketenangan itu sangat mahal harganya dan kehidupan itu singkat usianya.
* Penulis merupakan seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI