Penyertaan tenaga kerja wanita mesti ditingkatkan - Najib
Bernama
Mei 28, 2013 13:33 MYT
Mei 28, 2013 13:33 MYT
Datuk Seri Najib Razak berkata penyertaan tenaga kerja wanita yang ketika ini berada pada kadar 47 peratus perlu ditingkatkan bagi memastikan pertumbuhan teguh dan mampan di negara ini.
Perdana Menteri berkata lebih banyak peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan keperluan wanita mesti ditawarkan untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja misalnya secara bekerja dari rumah, separuh masa atau waktu kerja anjal.
"Wanita masih belum diwakili secara saksama dalam tenaga kerja. Ekonomi Malaysia menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.6 peratus tahun lepas.
"Bagaimanapun penyertaan tenaga kerja wanita mesti ditingkatkan jika kita mahu terus menyaksikan pertumbuhan yang teguh dan mampan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Global Women Deliver 2013 kali ketiga di sini hari ini.
Turut hadir Penaung Women Deliver 2013 yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Women Deliver Jill Sheffield dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.
Najib menegaskan kerajaan melaksanakan dasar untuk menggalakkan peralihan itu, dengan melakukan perubahan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang memperteguhkan keperluan untuk menarik, meningkat dan mengekal petugas wanita dalam tenaga kerja.
"Kami mempunyai beberapa sasaran yang menyeluruh bagi wanita dalam tenaga kerja seperti melonjakkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus, dan meningkatkan jumlah wanita yang bekerja dalam lembaga syarikat senaraian awam kepada 30 peratus," katanya.
Lebih 3,000 perwakilan, termasuk penggubal dasar, penyokong dan pemimpin dunia mewakili lebih 150 negara, menghadiri persidangan tiga hari itu bermula hari ini.
Malaysia menjadi negara pertama Asia diberi penghormatan menganjurkan persidangan global itu yang sebelum ini diadakan di London dan Washington D.C.
Acara itu disifatkan sebagai sebagai persidangan global terbesar pada dekad ini yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan gadis serta wanita.
Persidangan ini dianjurkan Women Deliver yang beribu pejabat di New York.
Mengulas lanjut, Najib berkata Institut Pengupayaan Wanita Negara mengendalikan program latihan pengarah wanita untuk merealisasi sasaran yang ditetapkan berkaitan wanita dalam tenaga kerja.
Beliau menarik perhatian sehingga ini, lebih 300 wanita telahpun dilatih dan kini sedia mengisi jawatan dalam lembaga korporat.
Najib memperjelaskan kerajaan menyokong program kemahiran dan peluang keusahawanan bagi pekerja berpendapatan rendah.
Perdana menteri berkata kerajaan merancang untuk membangunkan sistem sokongan sosial holistik untuk menyumbang kepada keseimbangan kehidupan peribadi dan profesional, yang antara lain menawarkan penyelesaian kepada penjagaan kanak-kanak dan orang tua.
"Dasar ini bukanlah sebagai tambahan semata-mata, ia adalah pelopor penting bagi pertumbuhan ekonomi mampan yang sebenar.
"Tambahan pula, jika kita ingin turut sama melihat demokrasi yang mampan, jelas bahawa kita perlu meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang politik," kata Najib.
Najib berkata beliau menjadi bersemangat dengan peranan aktif dan ketara yang dilaksanakan oleh beberapa wanita dalam politik negara namun percaya bahawa menjadi kewajipan mereka untuk mencari punca wanita kurang diwakili dalam wacana politik Malaysia.