Penyertaan syarikat dalam AKI 2024 meningkat 100 peratus - Tengku Zafrul
Bernama
Jun 11, 2024 00:06 MYT
Jun 11, 2024 00:06 MYT
KUALA LUMPUR: Penyertaan sebanyak 153 syarikat dalam Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 menyaksikan penyertaan yang meningkat hampir 100 peratus tahun ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata jumlah penyertaan yang diterima bagi AKI 2024 adalah lebih tinggi berbanding 78 syarikat yang menyertai pada 2020.
"Secara keseluruhannya, hasil eksport kesemua syarikat ini adalah kira-kira RM4 bilion. Walaupun angka ini tidak terlalu besar, kami percaya kesemuanya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan eksport masing-masing pada masa akan datang.
"AKI adalah wadah atau platform bagi kerajaan mengiktiraf syarikat yang cemerlang dalam amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan serta sentiasa memberikan nilai tambah kepada pemegang taruh masing-masing," katanya semasa berucap pada AKI 2024 di sini malam ini.
Hadir sama adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Tengku Zafrul AKI 2024 mempertandingkan sebanyak 13 kategori antaranya Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan, Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan, Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka, Anugerah Kecemerlangan Syarikat Paling Berpotensi dan Anugerah Kecemerlangan Industry4wrd.
"Satu anugerah baharu diperkenalkan kali ini iaitu Anugerah Kecemerlangan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dan satu syarikat akan dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri, iaitu pengiktirafan terulung dan paling berprestij yang dianugerahkan kerajaan kepada pihak industri," katanya.
--BERNAMA