Penyertaan program Protege capai 84 peratus - Ewon
Bernama
Januari 14, 2024 05:45 MYT
Januari 14, 2024 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 64,511 peserta terdiri daripada lepasan universiti dan mahasiswa menyertai program di bawah Professional Training and Education For Growing Entrepreneurs (Protege) yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat tahun lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah itu mewakili 84 peratus daripada sasaran jumlah penyertaan bagi inisiatif tersebut iaitu 76,690 orang menjelang 2025.
"Ini adalah pencapaian yang sangat memberangsangkan untuk kementerian ini terus melatih bakal pelapis negara.
"Menjelang 2030, kita sasarkan Malaysia sebagai negara keusahawanan yang unggul dan program Protege ini merupakan program yang bagus untuk membangunkan golongan graduan dan mahasiswa kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Protege @ KUSKOP 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Ahad.
Karnival itu adalah permulaan kepada enam siri karnival yang akan diadakan di seluruh negara iaitu di Zon Utara, Selatan, Timur dan Borneo untuk mempromosikan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah Protege.
Ewon berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh Protege.
Beliau dalam majlis sama turut melancarkan program Sembang Protege x KRU yang akan dilaksanakan dengan kerjasama KRU Studios.
Dalam perkembangan lain, Ewon menggalakkan para usahawan kecil dan tidak formal yang terjejas akibat bencana alam untuk menyertai Pelan Pemformalan Usahawan Informal bagi memudahkan mereka mendapat akses kepada pelbagai bantuan termasuk perlindungan sosial.
"Kita adakan pelan itu dengan harapan supaya insurans perlindungan sosial dapat dipanjangkan kepada usahawan seluruh negara termasuk di luar bandar yang berniaga sebagai penjaja dan peniaga kecil.
"Pada saya penting dalam keadaan kita berhadapan dengan situasi bencana, perlindungan itu sangat mustahak, sebab itu kita melancarkan pelan itu pada tahun lepas untuk menggalakkan mereka mendaftar supaya mereka mempunyai akses kepada perlindungan sosial dan sebagainya," katanya. - BERNAMA