Penyerang JDT, Syafiq Ahmad kemalangan, anak maut
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 6, 2020 09:23 MYT
Disember 6, 2020 09:23 MYT
NIBONG TEBAL: Penyerang muda JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap, awal pagi tadi.
Kemalangan ngeri itu mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, difahamkan ibu mertuanya, dan Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq, 25 tahun, dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, cedera ringan namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera parah.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Lee Chong Chern, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 4.16 pagi.
"Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara, telah melanggar pembahagi tengah jalan dan terbalik di garisan putus-putus di tengah jalan.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik," katanya.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.
Sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.
"Terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu.
"Pasukan bomba dengan PPE lengkap kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6.10 pagi.
"Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya sementara yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sungai Bakap.
Muhammad Syafiq turut menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.
#kemalangan
#Muhammad Syafiq Ahmad
#pemain bola sepak
#JDT
#Lebuhraya Utara Selatan
#PLUS
#ibu mertua
#anak
#bayi
#cedera
#parah
#Toyota Vellfire
#Sungai Bakap
#JBPM
#pulau pinang
#tersepit
#terbabas
#langgar pembahagi jalan
#Lee Chong Chern
#Seberang Perai