Penyerahan memorandum bantah GST di Ibu Pejabat Kastam kecoh
Astro Awani
Mac 23, 2015 14:49 MYT
Mac 23, 2015 14:49 MYT
Penyerahan Memorandum kepada Kastam oleh Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Ibu Pajabat Kastam di Kelana Jaya menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara polis dan sekretariat Bantah GST.
Menurut sumber, keadaan pada tengahari Isnin masih tegang dengan rundingan masih diteruskan oleh kedua pihak.
"Hanya segelintir yang berada di dalam sementara yang lain berada di luar bangunan dan berteriak untuk masuk.
"Mereka mula berkumpul seawal 11 pagi dan lebih 100 anggota keselamatan sudah mula berkawal sejak pagi," kata sumber itu.
Memorandum itu sebelum ini difahamkan akan dihantar bersama beberapa soalan mengenai GST kepada pegawai Kastam.
Sebelum ini anggota gabungan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, memorandum itu merupakan usaha terakhir kerana bantahan rakyat untuk GST telah diabaikan oleh Putrajaya.
Sebuah portal melaporkan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan berkata, sejarah akan menjadi lebih buruk seandainya rakyat gagal untuk menentang GST daripada dilaksaksanakan.
"Ini usaha terakhir kami untuk memberi signal rakyat masih belum bersedia untuk GST, kerajaan juga sebenarnya belum bersedia untuk pelaksanaannya," ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan menangguhkan GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April depan seperti yang telah diluluskan di Parlimen.
Kata kenyataan itu, GST dilihat sebagai satu langkah konsolidasi fiskal yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara dan sebarang penangguhan pelaksanaan GST akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia.