Penyenggaraan tebing sungai Hulu Langat adalah di bawah tanggungjawab JPS - JKR

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 3, 2022 07:06 MYT
Benteng penahan telahpun dibina di beberapa kawasan sepanjang sungai di daerah Hulu Langat selepas bencana teruk yang dialami di daerah tersebut tahun lalu. - Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Rungutan dan kebimbangan penduduk di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat Jumaat lalu tentang kemungkinan ancaman bencana banjir tahun lalu akan berulang, segera mendapat perhatian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat, Selangor.
Dalam laporan sebelum ini, kebimbangan penduduk itu adalah berkenaan keadaan sungai yang semakin cetek dan juga benteng yang dibina tidak menyeluruh.
Jelas satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Astro AWANI hari ini, pihak JKR menyatakan pihaknya telah melaksanakan pembinaan benteng penahan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sejak kejadian banjir yang teruk tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, keperluan kerja-kerja baik pulih telah dilakukan secepat mungkin ketika itu bagi memperbaiki keadaan yang rosak membabitkan beberapa struktur benteng dan juga jalan raya.
"Pembinaan benteng penahan di Jalan Industri Hulu Langat (FT3210) berhampiran IKBN Dusun Tua dan di KM 12 Jalan Sungai Lui (B19) adalah sebahagian dari inisiatif JKR bagi membolehkan jalan-jalan tersebut selamat dilalui, setelah tebing sungai runtuh akibat banjir lalu menyebabkan kerosakan teruk pada jalan-jalan milik JKR.
"Adalah dimaklumkan bahawa penyenggaraan tebing di sepanjang sungai adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Oleh itu, pihak pengadu diminta merujuk kepada JPS bagi kerja-kerja pembaikan yang melibatkan tebing-tebing sungai," jelas kenyataan tersebut.
Tinjauan keadaan semasa penduduk di sekitar daerah tersebut telah dibuat Jumaat lalu, termasuk beberapa buah kampung yang terjejas teruk akibat bencana pada hujung tahun lalu.
Beberapa wakil penduduk yang ditemui mengemukakan beberapa rungutan dan kebimbangan mereka terhadap keadaan di sepanjang sungai di kawasan berkenaan, yang dilihat berisiko untuk berlaku kembali tragedi kemusnahan besar terhadap penduduk di Hulu Langat.
Selain itu, sebilangan mereka juga mendakwa, terdapat peruntukan bantuan oleh kerajaan terhadap mangsa banjir turut belum diperoleh sehingga ke hari ini seperti yang dijanjikan.
BACA: Banjir Hulu Langat: Trauma tahun lalu belum hilang, penduduk bimbang tragedi berulang
Ia termasuk bantuan tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembaikan rumah melibatkan lebih 50 kediaman yang terjejas di kampung Batu 18, Kampung Jawa.
#mangsa banjir #banjir #JKR #Selangor