Penyenggaraan pencawang elektrik TNB selesai, bekalan air di Zon 1 pulih

Bernama
Disember 20, 2016 07:01 MYT
Syabas dalam kenyataan hari ini berkata loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 kini beroperasi semula sepenuhnya.
Kerja penyenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor siap dilaksanakan mengikut jadual pada tengah malam tadi.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan hari ini berkata loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 kini beroperasi semula sepenuhnya.
Menurutnya, pemulihan bekalan air secara berjadual akan dilaksanakan mulai 4 petang ini di semua kawasan yang terjejas di Zon 1 Gombak, Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Bekalan air bantuan akan dihantar melalui lori tangki air ke zon yang masih mengalami gangguan bekalan air kerana paras air rendah di kolam takungan air.
Kenyataan itu berkata pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama dan Alamat.
Maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air boleh dirujuk sama ada di laman www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar 'mySyabas', Facebook 'Air Selangor' atau Twitter 'air_selangor', menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#gangguan air #kerja penyenggaraan #Pencawang Bukit Badong #SYABAS #TNB