Penyeluk saku didalangi warga asing tumpas

Sinar Harian
April 13, 2022 07:30 MYT
Kesemua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lapan warga asing diberkas dipercayai terlibat dalam kes seluk saku di Jalan Ampang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan dijalankan ke atas kesemua suspek susulan laporan kehilangan dua kad kredit pada Sabtu lalu.
"Lapan individu yang diberkas terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berumur antara 22 hingga 38 tahun.
"Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam satu kejadian seluk saku yang berlaku kira-kira jam 6 petang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, tangkapan dijalankan ke atas kesemua suspek turut sama merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan yang dijalankan sebelum ini.
"Antara yang dirampas melibatkan lapan telefon bimbit, 3 pasang kasut, 10 helai baju pelbagai jenama, dua buah beg silang dan pelbagai lagi barangan berjenama lain.
"Kesemua barangan yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM37,000," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#penyeluk saku #warga asing #Noor Delihan Yahaya #kad kredit
;