Penyeludupan daun ketum di sempadan meningkat sepanjang Ogos
Bernama
September 1, 2021 06:13 MYT
September 1, 2021 06:13 MYT
BUKIT KAYU HITAM: Peningkatan kes rampasan kepada 7.9 meterik tan dalam Op Benteng COVID selama sebulan sehingga 31 Ogos dipercayai berikutan hasil lumayan dan upah tinggi diberikan bagi kerja-kerja penyeludupan bahan tersebut.
Pegawai Pemerintah Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Md Dali Jamil berkata penugasan pasukannya juga semakin mencabar, apabila penyeludup sering menukar modus operandi mereka, namun pihaknya sehingga kini berjaya mematahkan pelbagai cubaan penyeludupan.
"Sekarang ni mereka (penyeludup) ada yang hanya berlari, membawa (memikul) guni berisi daun ketum sebelum mencampaknya ke sebelah pagar negara jiran, kebanyakan (kes dikesan) di sebelah Chuping, dan Padang Besar di Perlis.
"Difahamkan upah membawa daun ketum sekitar RM100 seguni dan daun ketum yang dijual di sana melebihi RM100 sekilogram berbanding dibeli di sini (Malaysia) hanya RM30 sekilogram, ini sebab kenapa kegiatan ini terus berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengumumkan kejayaan Batalion ke-2 PGA Briged Utara dalam 'Op Benteng COVID' di Martek Bukit Kayu Hitam di sini, semalam.
Md Dali berkata PGA Briged Utara turut membuat 16 tangkapan, terhadap pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Thailand, termasuk seorang tekong Myanmar yang menyeludup masuk ke negara ini di Ladang Rakyat Laka Temin dekat sini, malam semalam.
"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.
Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan di sepanjang sempadan negara bagi mengekang penyeludupan bahan terlarang, dan pengawasan juga akan terus dipergiatkan di kawasan pesisir pantai yang turut menjadi lokasi penyeludupan.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi penyeludup.
-- BERNAMA