Penyeludup lari tinggal beras dalam kereta
Sinar Harian
Disember 8, 2021 06:15 MYT
Disember 8, 2021 06:15 MYT
TUMPAT: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai penyeludup beras Siam yang berjaya melarikan diri dengan memecut laju kereta dipandunya di Kampung Cherang, Cabang Empat di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, polis turut menemukan 32 guni beras dianggarkan seberat 800 kilogram dalam kenderaan ditinggalkan oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, anggota polis dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, mereka menghampiri kereta tersebut dan mengarahkan pemandunya berhenti.
“Apabila menyedari kehadiran polis, pemandu itu memecut laju kenderaannya menuju ke arah jalan utama.
“Polis mengejar sehingga ternampak kereta tersebut terbabas ke kawasan sawah padi di Kampung Cherang manakala lelaki itu melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan,pada Rabu.
Beliau berkata, usaha mengesan pemandu tersebut, gagal.
“Pemeriksaan dalam kereta mendapati 32 guni beras Siam anggaran seberat 800 kilogram di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.
“Beras-beras tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran Thailand dan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kata beliau, rakaman video berkaitan insiden itu turut tular di laman sosial memaparkan kenderaan pacuan empat roda polis yang mengejar kenderaan awam berwarna merah tersebut.
“Usaha mengesan pemandu kenderaan itu giat dijalankan pihak polis,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian