Penyeludup lari tinggal baju, selimut 'bundle' lebih RM50,000
Bernama
Oktober 2, 2021 22:47 MYT
Oktober 2, 2021 22:47 MYT
TUMPAT: Seorang lelaki yang disyaki penyeludup bertindak meninggalkan baju dan selimut 'bundle' bernilai lebih RM50,000, selepas kegiatannya dikesan dalam satu kejadian di Pangkalan Haram Kebun, Pengkalan Kubor, di sini pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata terdahulu anggota 'Strike Force' Kompeni 'C' Batalion 9 PGA, telah membuat intipan di lokasi terbabit pada jam 9 pagi.
Beliau berkata semasa intipan dibuat, seorang lelaki didapati sedang memunggah kotak-kotak ke dalam sebuah kereta Proton Wira. Namun sebaik menyedari kehadiran anggota operasi, lelaki bertindak memecut laju dengan menggunakan kenderaan tersebut.
"Anggota operasi berjaya menahan kenderaan di hadapan pagar pangkalan haram tersebut, namun lelaki tersebut itu berjaya meloloskan diri di kawasan semak yang berdekatan, dan serta gagal dikesan.
"Pemeriksaan di dalam kereta menemukan 697 helai baju dan dua helai selimut 'bundle' dianggarkan bernilai RM52,375," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata berkata keseluruhan nilai rampasan baju dan selimut itu serta sebuah kereta itu dianggarkan bernilai RM60,375.
"Kesemua barangan telah dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu, Azhari berkata dalam satu operasi berasingan anggota PGA7 menahan dua lelaki bersama enam ekor kambing yang dibawa ke utara tanah air tanpa dokumen perjalanan, menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, Pasir Mas, semalam.
"Kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu sepasukan anggotanya ketika memandu 4WD Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan pada jam 8 malam.
"Selepas memperkenalkan diri, anggota pasukan membuat pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu dan menemukan enam ekor kambing. Kedua-dua lelaki itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi membantu siasatan," katanya.
Azhari berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu ingin membawa kambing yang diperolehi dari Wakaf Bharu, Tumpat ke Alor Setar, Kedah.
"Daging kambing itu boleh dijual pada harga RM25 sekilogram. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953," katanya.
-- BERNAMA